JAKARTA – Berpuluh-puluh penternak ayam daging dan ayam telur dari pelbagai kawasan di Solo Raya mengadakan protes unik dengan ‘mandi telur’ di Bulatan Gladak, Solo kelmarin, lapor laman berita BBC Indonesia.
Tindakan drastik itu bagi menyuarakan bantahan terhadap kejatuhan mendadak harga ayam hidup dan telur ayam di pasaran, yang didakwa jauh di bawah Harga Pokok Pengeluaran (HPP).
Aksi mereka mencerminkan keresahan penternak yang mengaku terpaksa menanggung kerugian berpanjangan sejak dua bulan lalu akibat harga jualan yang terus merosot, sedangkan kos pengeluaran kekal tinggi.
Isu yang mereka suarakan bukan hanya berlaku di Solo.
Di Jawa Barat, penternak bimbang lambakan telur murah dari Blitar akan terus menekan harga.
Di Makassar pula, peniaga mengaku harga telur turun mendadak selepas beberapa dapur program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) ditutup atau mengurangkan operasinya.
Di pelbagai daerah, pemain industri mengadu tentang keadaan serupa iaitu harga jualan yang terus merosot, manakala kos pengeluaran kekal tinggi. – AGENSI














