fbpx
Warga SMK Tunku Besar yang melawat bangunan Parlimen bergambar bersama Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (tengah).

Lawatan ke Parlimen buka mata pelajar, fahami demokrasi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kunjungan ke bangunan Parlimen bukan sekadar lawatan sambil belajar buat sejumlah pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan, malah menjadi pengalaman yang membuka mata mereka terhadap perjalanan sistem demokrasi dan pentadbiran negara.

Seramai 38 pelajar sekolah tersebut melakukan lawatan ke Parlimen baru-baru ini yang disifatkan sebagai lawatan yang cukup bermakna.

Pelajar aliran Sains Sosial, Nur Amila Damia Noresam, 18, berkata, tujuan utama menyertai lawatan tersebut adalah untuk melihat sendiri suasana sebenar persidangan

Parlimen selain memahami dengan lebih jelas bagaimana sesuatu keputusan penting negara dibuat.

“Sebelum ini, saya hanya mengetahui Parlimen ialah tempat ahli-ahli Parlimen bersidang dan membincangkan hal pentadbiran negara. Namun selepas berada di sini, saya benar-benar memahami bahawa setiap keputusan dibuat melalui proses yang tersusun dan bukannya secara tergesa-gesa,” katanya kepada K-Remaja.

Nur Amila berkata, lawatan itu turut memberi gambaran lebih jelas mengenai peranan Parlimen sebagai institusi yang memastikan suara rakyat didengar melalui wakil-wakil yang dipilih secara demokrasi.

Menurutnya lagi, antara perkara paling menarik dipelajari ialah struktur Parlimen Malaysia yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta fungsi kedua-dua dewan dalam proses meluluskan sesuatu rang undang-undang.

Kata Nur Amila, dia turut memahami bahawa setiap undang-undang perlu melalui beberapa peringkat seperti pembentangan, perbahasan dan penelitian sebelum dipersetujui bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

“Apabila melihat sendiri Dewan Rakyat, suasana jauh berbeza berbanding apa yang saya tonton di televisyen. Saya dapat merasai suasana yang begitu formal, tersusun dan berwibawa, sekali gus lebih menghargai setiap proses yang berlaku,” ujarnya.

Tambah Nur Amila, pengalaman itu turut menyedarkannya mengenai kepentingan mengikuti perkembangan semasa kerana setiap keputusan yang dibuat di Parlimen memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat.

Menurutnya, nilai tanggungjawab, integriti, kerjasama serta sikap menghormati pandangan berbeza antara pengajaran paling bermakna yang diperoleh sepanjang lawatan tersebut.

Para pelajar melihat sendiri suasana persidangan di Parlimen.

Sementara itu, seorang lagi pelajar aliran Sains Sosial, Muhammad Zul Fadlie Abdul Aziz, 18, dari Pekan Kota berkata, lawatan berkenaan mengubah persepsinya terhadap fungsi sebenar Parlimen Malaysia.

Menurut Muhammad Zul Fadlie, sebelum ini dia menyangka Parlimen hanya menjadi tempat wakil rakyat membahaskan isu semasa, namun kini dia memahami institusi itu turut berperanan menggubal undang-undang baharu serta menambah baik undang-undang sedia ada.

“Antara perkara yang paling menarik perhatian saya ialah struktur Parlimen yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai sebahagian daripada institusi Parlimen, selain Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri,” katanya.

Muhammad Zul Fadlie berkata, lawatan tersebut turut memberi kefahaman lebih mendalam mengenai proses sesuatu rang undang-undang diluluskan yang melibatkan beberapa bacaan serta penelitian sebelum dipersetujui.

Katanya, pengalaman melihat sendiri suasana persidangan menjadikan isu-isu yang dibangkitkan oleh wakil rakyat lebih mudah difahami berbanding sekadar mengikuti siaran di televisyen.

“Lawatan ini juga menyedarkan saya bahawa masyarakat perlu sentiasa mengikuti berita daripada sumber yang sahih supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau fitnah terhadap mana-mana wakil rakyat,” ujarnya.

Dia juga berpendapat program seperti itu mampu membuka minda pelajar mengenai kepentingan institusi Parlimen serta menghargai usaha wakil rakyat dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat.

Sementara itu, Penyelaras Lawatan Ilmu ke Parlimen, S. Tina, berkata, penyertaan pelajar dalam program tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung mengenai sistem demokrasi negara yang dipelajari di dalam bilik darjah.

Menurutnya, melalui pengalaman berkenaan, mereka dapat memahami bahawa setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti mematuhi undang-undang, menghormati Perlembagaan, serta mengambil berat terhadap isu-isu negara.

“Diharapkan mereka akan menjadi rakyat yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap kepentingan negara.

“Malah, pendedahan ini amat penting kerana membantu generasi muda memahami sistem pemerintahan negara dan peranan Parlimen dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Menurut beliau, pengetahuan berkenaan dapat memupuk semangat patriotisme, menggalakkan pemikiran kritis dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyertaan aktif sebagai warganegara pada masa hadapan.

“Saya berharap pengalaman ini dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan, berintegriti, bertanggungjawab dan mempunyai semangat kepimpinan,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN