fbpx
MASAKI yang merupakan Muslim Jepun menunjukkan antara hidangan ramen yang ditawarkan di The Tokyo Ramen, Bangsar. – Fariz Rusadio

Ramen autentik olahan Muslim Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HIRUPAN pertama kuah tokyo shoyu memberikan rasa yang lembut dan ringan, diikuti kemanisan semula jadi hasil rebusan ayam.

Shoyu atau kicap soya Jepun pula melengkapkan kuah dengan keseimbangan rasa umami tanpa meninggalkan rasa masin yang berlebihan.

Hidangan itu mengandungi hirisan ayam yang diperap dan direbus dengan kicap soya, telur, rebung, cendawan kikurage, daun bawang serta mi ramen yang kenyal.

Kuah ini menggunakan sup jernih yang dimasak pada suhu sekitar 80 hingga 90 darjah Celsius selama kira-kira enam jam, menghasilkan rasa yang ringan dan seimbang.

Kini, hidangan ikonik Jepun itu boleh dinikmati dalam versi halal oleh rakyat Malaysia di The Tokyo Ramen di APW Bangsar, Kuala Lumpur.

Menurut pemilik restoran yang merupakan Muslim Jepun, Masaki Arakawa, antara cabaran utama dalam menghasilkan ramen halal ialah mengekalkan rasa asli Jepun tanpa penggunaan bahan tidak halal seperti alkohol.

“Saya menghabiskan masa selama satu bulan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menggantikan sake yang sememangnya sinonim dalam masakan Jepun.

“Asas sup ramen sama seperti yang diamalkan masyarakat Jepun iaitu menggunakan ayam, tulang ayam dan bahan aromatik sebagai asas semua sup.

“Bahan pengganti sake termasuk air, kombu iaitu rumpai laut kering Jepun, shiitake iaitu cendawan Jepun, bonito iaitu ikan kering serta tiga jenis kicap soya.

HIDANGAN ramen disajikan dengan olahan halal dan dalam masa sama mengekalkan rasa asli Jepun.

“Adaptasi ini dilakukan bagi memastikan rasa hidangan ini hampir serupa dengan rasa sebenar yang dinikmati masyarakat Jepun, sekali gus menjadikannya autentik,” katanya kepada CitaRasa.

Selain Tokyo Shoyu, pelanggan turut boleh memilih shiro ramen berasaskan sup ayam paitan yang berlemak dan berkrim.

Kuah paitan ini mempunyai tekstur yang lebih pekat dan sedikit masin bagi sesetengah selera tempatan.

Namun, pelanggan boleh menambah cuka berinfusi kombu yang disediakan untuk mengimbangi rasa tersebut.

Hidangan ini turut dilengkapi dengan dada ayam yang dimasak perlahan, telur ajitama, rebung, cendawan kikurage, daun bawang, lemon, rumpai laut nori serta minyak ayam beraroma yang melengkapkan keenakan kuah.

Bagi pelanggan yang menggemari makanan pedas, aka ramen juga wajar dicuba.

Hidangan ini mengekalkan tekstur kuah yang berkrim seperti shiro ramen, namun diperkaya dengan rasa pedas yang lebih menyerlah.

Ia turut dihidangkan bersama dada ayam yang dimasak perlahan, telur ajitama, rebung, cendawan kikurage, daun bawang, rumpai laut nori serta minyak ayam beraroma.

Kongsi Masaki, Mi ramen Jepun terkenal dengan teksturnya yang kenyal dan anjal, hasil penggunaan air alkali yang memberikan ‘springy bite’ ketika dihirup.

“Keistimewaan ini membolehkan mi menyerap kuah dengan baik tanpa menjadi lembik, sekali gus mengekalkan keseimbangan rasa dalam setiap suapan.

 “Berbeza dengan mi tempatan atau mi Cina yang lebih lembut, mi ramen Jepun lebih padat dan memberikan sensasi kenyal yang jelas ketika dikunyah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN