HOUSTON – Ketua Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu percaya jurang kualiti Samurai Biru dengan pasukan handalan dunia semakin mengecil selepas tewas 1-2 kepada Brazil dalam aksi dramatik pusingan 32 terbaik saingan Piala Dunia 2026 semalam.
Pada perlawanan itu, Jepun yang mendahului 1-0 pada babak pertama akhirnya dikecewakan jaringan lewat Gabriel Martinelli pada masa kecederaan, sekali gus menyaksikan impian negara Matahari Terbit itu untuk menjulang kejayaan berakhir.
Bagaimanapun, Moriyasu melihat persembahan berani anak-anak buahnya ketika menentang juara dunia lima kali itu sebagai bukti bola sepak Jepun sudah berkembang dan semakin dihormati di pentas antarabangsa.
“Kekuatan pasukan kami sememangnya sudah meningkat. Malah, dalam aksi persahabatan kami berjaya menewaskan lawan yang sebelum ini tidak pernah kami kalahkan.
“Segala usaha yang dilakukan oleh pemain telah membawa kepada peningkatan skuad kebangsaan dan saya percaya ia telah mengubah kedudukan Jepun dalam landskap bola sepak dunia,” katanya.
Moriyasu berkata, Jepun hadir ke kejohanan itu bukan sekadar untuk menjadi pencabar, malah percaya mereka mempunyai kemampuan untuk mencipta sejarah sebagai juara dunia.
“Kami sedar sebagai pasukan bukan pilihan, kami masih mempunyai peluang untuk menjadi pasukan nombor satu dunia.
“Saya fikir kami mempamerkan aksi yang membuatkan orang berkata, ‘Kalaulah Jepun menang hari ini, mungkin mereka mampu pergi lebih jauh’. Dengan persembahan seperti itu, orang ramai akan sedar bahawa kami sudah meningkatkan tahap permainan.
“Malah, mereka yang tidak begitu mengikuti bola sepak kini dapat melihat Jepun sedang berjuang untuk menjadi juara dunia, terus berkembang dan berani mencabar pasukan-pasukan terbaik,” katanya. – AGENSI














