HOUSTON – Pemain gantian, Gabriel Martinelli muncul wira Brazil apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik di Stadium Houston itu menyaksikan skuad kendalian Carlo Ancelotti mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik dan bakal membuat perhitungan dengan pemenang antara Ivory Coast atau Norway nanti.
Pada perlawanan itu, skuad Samurai Biru mengejutkan gergasi Amerika Selatan itu apabila mendahului pada minit ke-29 menerusi jaringan pertama Kaishu Sano di pentas antarabangsa.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Brazil meningkatkan tempo permainan sebaik babak kedua bersambung dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan padu Casemiro hasil hantaran Gabriel Magalhaes pada minit ke-56.
Vinicius Junior hampir meletakkan Brazil di depan beberapa minit kemudian, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Jepun, Zion Suzuki.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Bruno Guimaraes melorongkan bola kepada Martinelli yang tenang menewaskan Suzuki untuk meledakkan gol kemenangan
Kemenangan itu memastikan impian Brazil memburu kejuaraan Piala Dunia keenam terus bernyawa, manakala Jepun sekali lagi terpaksa menangguhkan hasrat untuk melakar sejarah menjadi negara pertama Asia menjulang trofi paling berprestij itu kali ini. – AGENSI














