DI dalam momentum kecemerlangan, Koperasi Tenaga Nasional Berhad (KopTNB) optimis untuk melangkah lebih jauh.
Menyasarkan untuk mencapai status Koperasi Premier, ia diyakini mampu digapai melalui pelaksanaan perancangan strategik yang lebih tersusun dan pengukuhan pelbagai sektor perniagaan pada masa hadapan.
Pengerusi KopTNB, Nik Hishamuddin Mohamed berkata, keyakinan tersebut didorong oleh momentum pertumbuhan positif yang dicatatkan koperasi berkenaan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, kedudukan KopTNB yang kini berada di tangga kedua dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia membuktikan koperasi itu mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
Katanya, pencapaian tersebut bukan diperoleh secara kebetulan sebaliknya hasil kerjasama erat antara anggota, lembaga dan pengurusan koperasi.
“Kita bermula daripada kedudukan lebih rendah sebelum ini dan secara berperingkat berjaya meningkat sehingga menduduki tangga kedua koperasi terbaik negara.
“Kita berharap dengan usaha yang lebih gigih serta strategi yang berkesan, KopTNB mampu mencapai status Koperasi Premier dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-75 Koperasi TNB di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, Johor.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Mengulas lanjut, Nik Hishamuddin berkata, koperasi perlu berani meneroka bidang perniagaan baharu yang mempunyai potensi pulangan lebih baik.
Katanya, perubahan landskap ekonomi ketika ini menuntut koperasi untuk lebih agresif dalam mengenal pasti peluang-peluang baharu.
Beliau berkata, KopTNB telah mengambil langkah proaktif dengan mempelbagaikan sektor perniagaan termasuk perkhidmatan pelancongan dan Ar-Rahnu.

Menurutnya, perniagaan Ar-Rahnu yang diusahakan koperasi menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan.
Katanya, cawangan pertama KopTown ArRahnu di Bangsar berjaya mencatatkan keuntungan bersih hampir RM1 juta sepanjang tahun lalu.
Susulan pencapaian positif itu, KopTNB baru sahaja membuka cawangan kedua KopTown ArRahnu di TTDI Jaya, Shah Alam.
Beliau berkata, pembukaan cawangan baharu tersebut merupakan langkah strategik bagi memperkukuhkan lagi portfolio perniagaan koperasi.
Dalam pada itu, Ahmad Norihan berkata, KopTNB disaran terus meneroka bidang perniagaan baharu dan tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang dikecapi ketika ini bagi memastikan pertumbuhan organisasi kekal mampan.
Jelasnya, kejayaan KopTNB menduduki tangga kedua Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia merupakan satu pencapaian membanggakan.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan koperasi berkenaan mempunyai sistem tadbir urus dan pengurusan yang baik.
Bagaimanapun katanya, pencapaian itu tidak seharusnya menyebabkan koperasi berasa terlalu selesa sehingga mengabaikan peluang untuk berkembang lebih jauh.
“Jangan terlalu selesa dengan kejayaan yang telah dicapai kerana organisasi yang berhenti berubah akhirnya akan ditinggalkan oleh perubahan itu sendiri.
“Koperasi perlu berani mencipta peluang, meneroka bidang baharu dan terus berkembang bagi memberi manfaat kepada anggota,” katanya.














