PAGOH – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbau kembali kecekapan Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus kesihatan awam, ekonomi dan kebajikan rakyat ketika mentadbir negara sewaktu krisis pandemik Covid-19, enam tahun lalu.
Beliau berkata, ketika PN menjadi kerajaan, pelbagai bentuk bantuan telah dilaksanakan bagi membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk penyaluran bantuan kewangan secara terus ke akaun penerima.
“Kita sudah ada pengalaman mentadbirkan negara. Sedara masih ingat zaman Covid? Saya macam mana Allah tetapkan jadi Perdana Menteri. Tapi zaman susah, zaman wabak penyakit yang melanda seluruh negara dan seluruh dunia.
“Dalam keadaan susah itu pun, saya pikul amanah dan tanggungjawab. Saya tak tidur siang dan malam, memikirkan bagaimana negara mesti diselamatkan. Rakyat jangan mati kerana penyakit atau kerana tak ada makanan di atas meja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Sembang Santai di Kampung Jayor, dekat sini, petang tadi.
Muhyiddin berkata, kerajaan ketika itu melaksanakan perbelanjaan besar bagi tujuan membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara, dengan jumlah dianggarkan sekitar RM850 bilion.
Beliau turut membandingkan penyaluran Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh kerajaan negeri ketika ini berjumlah RM200 yang didakwanya memerlukan rakyat menunggu lama untuk menerima bantuan.
“Kerana ada kuasa yang diberikan pada saya, saya gunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada itu untuk maju dan juga untuk menguruskan hal ehwal negara dan akhirnya sampai masa selesailah kita menguruskan isu Covid, saya belanja RM850 bilion.
“Ada orang kata Johor ini dah okey, Menteri Besar hebat bagi bantuan BKJ. Banyak mana? RM200. Waktu zaman saya berapa banyak?. Bila ada pengumuman Perdana Menteri, semua tunggu depan televisyen nak tengok apa yang Tan Sri Muhyiddin nak umum.
“Bukan ambil masa berbulan. Dalam masa seminggu, tengok dalam akaun bank, dapat duit lagi RM2,000, RM3,000. Betul tak,” ujarnya.
Ujarnya lagi, isu rasuah masih berlaku walaupun sering ditekankan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara dan ia antara merupakan salah satu perkara yang diperjuangkan PN dengan menyertai PRN Johor. – KOSMO! ONLINE














