fbpx
SITI MARIAM (dua dari kiri) bersama koleksi tiga rekaannya.

Interpretasi pesak dan kekek dalam siluet moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WARISAN dan inovasi tidak semestinya bergerak dalam dua dunia yang berbeza.

Dalam landskap fesyen masa kini, semakin ramai pereka muda membuktikan bahawa elemen tradisional mampu diolah menjadi rekaan kontemporari yang segar, versatil dan dekat dengan cita rasa generasi baharu.

Mengangkat baju kurung sebagai inspirasi, pereka fesyen muda Siti Mariam Mohd. Noh mengekalkan elemen tradisional seperti pesak, kekek dan fabrik bercorak petak dalam koleksinya.

Dalam masa sama, gadis berusia 27 tahun itu mengolahnya semula dengan siluet baggy berinspirasikan jaket moden untuk memberi interpretasi baharu kepada busana tradisi.

Hasilnya, lahirlah satu koleksi yang bukan sahaja meraikan warisan tempatan tetapi juga membuka ruang baharu kepada baju kurung untuk terus hidup dalam arus fesyen semasa.

Bagi Siti Mariam, pendekatan ini lahir daripada keinginan untuk mengembalikan perhatian generasi muda terhadap busana tradisional dengan cara yang lebih segar dan relevan.

“Walaupun baju kurung masih kekal relevan dan sering digayakan, cara pemakaiannya kini semakin dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup serta evolusi trend fesyen semasa.

“Cabaran utama bukanlah sekadar mengekalkan elemen tradisional, tetapi memastikan tidak tenggelam dalam interpretasi moden yang terlalu jauh daripada asal,” jelasnya kepada CitaRasa.

Secara keseluruhan, koleksi ini dibahagikan kepada tiga rekaan utama yang masing-masing membawa interpretasi berbeza terhadap konsep baju kurung moden.

 

SALAH satu rekaan busana moden yang begitu menonjol elemen baju kurung.

Rekaan pertama terdiri daripada baggy jacket, baju-T dan seluar longgar yang diinspirasikan daripada siluet kain apabila dipakai, selain menampilkan elemen pesak yang dibesarkan sebagai perincian utama.

Koleksi kedua pula mengekalkan penggunaan baggy jacket dan baju-T, namun dilengkapkan dengan tambahan poket di bahagian hadapan serta seluar berkonsep wrap yang diikat di bahagian depan. 

Helaian ini turut menonjolkan elemen kekek sebagai asas kepada struktur baju kurung yang diolah semula.

Sementara itu, ciptaan ketiga memperlihatkan pendekatan yang lebih berbeza dengan gabungan baggy jacket, vest luar dan fitted dress. 

Rekaan ini menggabungkan elemen pesak dan kekek dalam satu helaian, sekali gus memberikan sentuhan yang lebih feminin berbanding dua interpretasi sebelumnya.

Pesak merujuk kepada kain tambahan yang dijahit pada baju tradisional, manakala kekek jahitan segi empat pada bahagian tertentu.

Kongsi Siti Mariam, koleksi ini menggunakan dua jenis fabrik utama iaitu tata fabric bercorak petak atau plaid berkualiti tinggi serta twill lycra sebagai fabrik yang polos.

“Pemilihan tata fabric dibuat kerana coraknya yang memberikan sentuhan tradisional, namun bukan daripada jenis fabrik petak biasa yang lebih keras dan kurang sesuai untuk siluet moden. 

ELEMEN tradisional seperti pesak, kekek dan fabrik bercorak petak diterap dalam koleksinya.

“Sebaliknya, fabrik yang digunakan lebih lembut, mempunyai alunan yang baik serta memberikan kesan jatuhan yang lebih kemas dan flowy apabila dipakai,” katanya.

Dari aspek teknik jahitan dan pembinaan pakaian pula, koleksi ini menggunakan teknik jahitan asas tanpa sebarang teknik khas yang kompleks. 

Namun begitu, antara cabaran utama dalam penghasilan rekaan ini ialah proses menghasilkan pintuck pada bahagian lengan kerana memerlukan ketepatan tinggi bagi memastikan keseimbangan antara bahagian hadapan dan belakang. 

Selain itu, salah satu rekaan turut menampilkan lengan yang boleh dibuka sebagai elemen tambahan yang memberi nilai fuctional dan variasi kepada pakaian.

Menurut Siti Mariam, baju kurung perlu terus diberi ruang untuk berkembang melalui pendekatan rekaan yang lebih segar tanpa menafikan nilai dan identiti asalnya.

“Bagi saya, baju kurung bukan sekadar pakaian tradisi, tetapi satu identiti yang boleh terus diberi nafas baharu. 

“Selagi kita tahu menjaga elemen asalnya, ia boleh berkembang tanpa kehilangan makna,” kata Siti Mariam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN