fbpx
Yamal memiliki dua cawangan Warung Yamal di UPM, Serdang, Selangor.

Yamal ikon usahawan pelajar berjaya di UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR usahawan telah mengubah hidup Lailatul Akmal Awiss Juharin.

Pemuda berusia 24 tahun itu berjaya keluar daripada kepompong kesusahan hidup dan meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) tanpa terbeban dengan masalah kewangan.

Mengimbau kembali momen ketika di tahun pertama pengajian, pemuda yang mesra disapa Yamal itu terpaksa meminta bantuan daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (Wazan) UPM kerana kesempitan wang.

“Pada ketika itu, baki akaun bank saya hanya tinggal RM20, dan saya sangat memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan di UPM.

“Nak minta duit pada emak dan ayah pun rasa bersalah kerana kami bukan orang senang. Jadi, saya memberanikan diri untuk meminta bantuan kewangan kecemasan daripada Wazan. Syukur saya diberikan bantuan wang sebanyak RM300.

“Beberapa minggu selepas itu, saya mendapat tawaran berniaga daripada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM,” katanya.

Di sinilah menjadi titik tolak kepada anak ketujuh daripada sembilan beradik itu bergelar usahawan, dan kini berjaya memiliki dua kedai menjual makanan serta minuman di UPM.

Hasil bantuan dan latihan yang diberikan oleh CEM bersama syarikat Keropok Getel, Yamal berjaya menjalankan kedai makanan dan minuman dengan menggunakan jenama Warung Yamal.

“Menguruskan kedai makanan bukanlah perkara baharu bagi saya kerana sudah biasa membantu ibu dan ayah di warung sejak kecil.

“Saya juga sudah didedahkan dan terlibat dengan perusahaan makanan ketika melanjutkan pengajian di UPM kampus Bintulu, Sarawak sebelum ini,” ujar anak kelahiran Ranau, Sabah itu.

Tambah Yamal, pada peringkat awal, dia hanya menjual keropok lekor dan minuman.

Selepas itu, dia menambah menu sedikit demi sedikit termasuk makanan berat dan pencuci mulut.

YAMAL aktif dalam kerja-kerja sukarelawan di UPM.

“Kedai makanan saya dibantu oleh lapan orang pekerja yang masing-masing menguruskan bahagian dapur, pentadbiran, penghantar makanan dan pencipta kandungan untuk dimuatkan di laman sosial Warung Yamal di TikTok dan Instagram.

“Pekerja di Warung Yamal terdiri daripada pelajar di UPM dan orang luar,” katanya yang bakal membuka kedai ketiga.

Lebih membanggakan, hasil perniagaan yang dijalankan itu membolehkan Yamal membantu keluarga di kampung, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

Bukan itu sahaja, kejayaan Yamal juga menjadi inspirasi kepada para pelajar yang menjadikannya sebagai mentor dalam bidang perniagaan.

“Saya sangat berbesar hati berkongsi ilmu dengan rakan-rakan pelajar yang mahu bertanyakan persoalan berkaitan perniagaan.

“Pihak CEM juga memberi amanah kepada saya sebagai Pengarah Program BIZTALK untuk merangka pelbagai program yang menghimpunkan 40 usahawan pelajar UPM,” ujarnya yang juga

Presiden Majlis Perwakilan Fakulti Pengajian Pendidikan.

Dalam pada itu, dia memaklumkan, ramai menyangka berniaga hanya memerlukan modal, sebaliknya itu saja tidak cukup jika tiada usaha dan minat.

“Kejayaan saya pada hari ini tidak datang bergolek, sebaliknya datang bersama usaha, pengorbanan dan sikap tidak mudah berputus asa.

“Selain itu, pengurusan masa juga sangat penting kerana saya perlu menjaga kakitangan, menguruskan kedai, dan pada masa sama memastikan pelajaran tidak ketinggalan.

“Saya hanya tidur dua hingga tiga jam sehari. Pada pukul 3 pagi, saya akan tidur selepas menutup akaun kedai dan bangun pula pada pukul 6 pagi untuk meneruskan tugas sebagai pelajar serta rutin menguruskan kedai,” katanya.

Oleh itu, tidak hairanlah Yamal berjaya menguruskan perniagaan dan cemerlang dalam pelajaran.

Baru-baru ini, Yamal dan pasukannya berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Business Combat, Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Sementara itu, sebagai tanda terima kasih dan sokongan yang diberikan kepada Warung Yamal, dia membalas jasa pelanggan dengan menghulurkan sumbangan berupa air balang, makanan dan wang untuk acara atau program yang dianjurkan oleh pelajar di UPM.

“Saya tidak akan lupakan asal usul dan kesusahan ‘mendaki’ menuju kejayaan ini.

“Saya juga pernah berjanji kepada diri sendiri untuk membantu seramai mungkin orang yang memerlukan apabila diberikan rezeki lebih,” katanya.

Pada masa akan datang, Yamal merancang untuk membuka cawangan kedai di luar UPM dengan saiz lebih besar dan konsep unik untuk pelanggan.

Ini kerana, dia menerima banyak permintaan daripada pelanggan supaya membuka kedai di luar universiti agar mereka dapat menikmati hidangan yang disediakan di kedai tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN