KUALA LUMPUR – Kehilangan seorang pemuda menimbulkan tanda tanya apabila dia gagal dikesan ketika bercuti di Thailand bersama bekas majikan dan rakan sekerjanya sejak 23 Jun lalu.
Lebih menghairankan apabila mangsa dikenali sebagai Boon, 20, itu dikatakan ditahan pihak berkuasa Hong Kong selepas keluarganya menerima panggilan enam hari kemudian mengatakan pemuda itu berada dalam tahanan mereka.
Bapanya, Tan, 52, berkata, anaknya bekerja sebagai penjual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah gagal dihubungi sejak ke Thailand sehinggalah mereka menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.
“Kami kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Sentul pada 4 Julai lalu bagi memohon bantuan imigresen menyemak status perjalanan keluar masuk anak, selain sebagai laporan perlindungan keselamatan kerana bimbangkan keselamatannya.
“Sehingga kini kami tidak menerima khabar daripadanya dan tidak tahu kedudukan dan sangat risaukan keselamatannya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan pihaknya telah mengendalikan lebih 25 kes membabitkan individu hilang sejak tahun lalu, dengan sebahagian besarnya telah ditahan di luar negara akibat sindiket.
Beliau berkata, kebanyakan kes melibatkan golongan muda yang terpedaya dengan tawaran pekerjaan atau ditiup janji manis kononnya mampu meraih pendapatan lumayan dengan mudah, sebelum akhirnya terjerat menjadi keldai dadah atau terlibat dalam sindiket penipuan kad kredit.
“Taktik yang biasa digunakan adalah membawa mereka ke luar negara atas alasan bercuti atau bekerja. Pihak keluarga hanya tahu anak mereka dalam bahaya selepas menerima panggilan kecemasan atau tuntutan wang.
“Paling membimbangkan, kes-kes seperti ini boleh membawa kepada hukuman penjara jangka panjang yang berat di negara asing, malah ada yang berdepan hukuman mati,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan Boon diminta segera tampil menghubungi balai polis berhampiran atau menyalurkan maklumat kepada Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE.















