TUMPAT – Seorang penyeludup tidak sempat menyeludup sebanyak 15 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM1,560 ke Thailand selepas perahu yang membawa kesemua barangan tersebut ditahan di pangkalan haram Mekza, Simpangan di sini semalam.
Suspek bertindak terjun ke dalam Sungai Golok dengan meninggalkan perahu yang sarat dengan LPG itu selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan serbuan di kawasan tersebut kira-kira pukul 8 malam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mengesan sebuah perahu dinaiki seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin di kawasan tersebut.
Katanya, menyedari kehadiran anggota PGA, suspek bertindak terjun ke dalam Sungai Golok sebelum berenang ke arah sempadan Thailand.
“Pemeriksaan di dalam perahu itu menjumpai sebanyak 15 tong LPG berkapasiti 14 kilogram yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik perahu tersebut. Perahu dan tong LPG itu dihantar ke kompeni taktikal PGA di Pengkalan Kubor di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua barang rampasan termasuk sebuah penimbang kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE















