PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam kalangan parti komponennya serta membenarkan semua calon gabungan itu menggunakan lambang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung penggunaan lambang serta pengagihan kerusi dalam gabungan berkenaan menjelang PRN Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mesyuarat itu bersetuju meluluskan rundingan pembahagian kerusi antara PAS, Wawasan, Gerakan dan Parti Maju India Malaysia (MIPP).
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional hari ini telah bersetuju meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan antara parti-parti anggota Perikatan Nasional.
“Mesyuarat juga bersetuju membenarkan penggunaan lambang Perikatan Nasional oleh calon-calon Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan seperti mana yang telah dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, segala proses perbincangan dan libat urus di peringkat awal telah dijalankan dengan pengetahuan serta kebenarannya selaku Pengerusi PN sebelum dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi gabungan itu.
Menurut Ahmad Samsuri, penyertaan calon-calon PN pada PRN Negeri Sembilan bertujuan membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di negeri itu dan Malaysia secara keseluruhannya.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan bertanding menggunakan lambang sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE















