fbpx
Gambar Anwar bersama Esposito yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

Anwar berdukacita pemergian sarjana Islam terkemuka John Esposito

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian sahabatnya, Profesor John L. Esposito, yang disifatkan sebagai antara sarjana Islam terkemuka dunia.

Anwar berkata, beliau mula mengenali Esposito pada awal 1970-an dan persahabatan mereka kekal erat selama lebih lima dekad.

Menurut beliau, Esposito memainkan peranan besar dalam membina asas intelektual bagi meningkatkan pemahaman masyarakat Barat terhadap Islam, selain menyumbang secara meluas dalam usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat Islam dan Kristian.

“John membina asas intelektual bagi pemahaman yang lebih mendalam mengenai Islam di Barat. Sumbangannya terhadap usaha persefahaman antara Muslim dan Kristian amat besar.

“Beliau membina jambatan ketika pihak lain lebih selesa membina tembok pemisah antara tamadun,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Esposito merupakan pengasas Pusat Persefahaman Muslim-Kristian di Universiti Georgetown dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pengajian Timur Tengah Amerika Utara.

Beliau turut menyunting Oxford Encyclopaedia of the Islamic World serta menghasilkan buku Makers of Contemporary Islam bersama John Voll yang mengkaji kepelbagaian aliran pemikiran politik Islam moden.

Selain itu, karya Esposito seperti What Everyone Needs to Know About Islam dan Who Speaks for Islam? yang ditulis bersama Dalia Mogahed berjaya membawa pemahaman mengenai Islam kepada khalayak lebih luas.

Anwar berkata, karya-karya tersebut amat signifikan khususnya selepas serangan 11 September 2001 ketika masyarakat dunia memerlukan penerangan lebih tepat dan mendalam mengenai Islam.

Perdana Menteri turut mengenang Esposito bukan sahaja sebagai seorang sarjana yang disegani, malah sahabat yang sentiasa memberikan pandangan dan sokongan ketika beliau berdepan pelbagai cabaran.

“Saya akan mengenang John sebagai seorang sarjana yang hebat, namun lebih daripada itu, beliau ialah sahabat yang nasihatnya amat saya hargai sepanjang tahun-tahun persahabatan kami.

“Beliau seorang yang pemurah dalam perbualan peribadi dan begitu teliti dalam penulisannya. Beliau juga terus bersama saya dalam susah dan senang,” katanya.

Bagi pihak Malaysia, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Esposito, Jean, serta seluruh ahli keluarga, rakan sekerja dan para pelajarnya.

“Semoga ilmu serta dialog yang dibangunkannya sepanjang hayat terus membuahkan hasil. Hingga ke akhir hayatnya, beliau merupakan sahabat sejati dunia Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN