KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menunggu penjelasan DAP Melaka berhubung keputusan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Perdana Menteri mengakui belum menerima sebarang maklum balas daripada kepemimpinan DAP Melaka berhubung tindakan tersebut.
“Itu mereka (DAP Melaka) akan follow up (beri maklum balas) nanti, soon (dalam masa terdekat), okey.
“(Setakat ini) mereka tak ada (beri maklum balas). Belum, belum, belum. Saya pun baru lepas di Parlimen (Sidang Dewan Rakyat) pagi tadi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Khas Murid-murid Sekolah Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Yayasan ERM di sini, hari ini.
Semalam, ketika pengumuman calon PH untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Anwar meminta DAP Melaka menangguhkan keputusan keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Permintaan itu dibuat susulan ketetapan DAP Melaka menarik sokongan terhadap Ab. Rauf, sekali gus menjadi pembangkang di negeri itu.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berbuat demikian kerana tidak bersetuju dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN secara lantikan.
Semua ADUN PH yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Timbalan Exco, Timbalan Yang Dipertua DUN Melaka serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan turut meletak jawatan.-KOSMO! ONLINE















