PUTRAJAYA – Malaysia berpandangan penyelesaian terbaik terhadap krisis berpanjangan di Myanmar ialah menerusi pendekatan penglibatan berkesan selain memberi ruang kepada rakyat negara itu menentukan sendiri masa depan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat mengalu-alukan pandangan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berhubung isu Myanmar yang selari dengan pendirian Malaysia.
“Saya amat gembira mendengar pandangan Perdana Menteri Thailand mengenai Myanmar kerana Malaysia berpendapat cara terbaik untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama ini adalah melalui penglibatan yang berkesan dan membenarkan rakyat Myanmar membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.
“Thailand sebagai sahabat dan jiran penting boleh memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand ke Malaysia, di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau turut menghargai inisiatif Menteri Luar Thailand yang menjemput semua Menteri Luar ASEAN bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai krisis itu serta mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk Menteri Luar Myanmar yang baharu.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai pendirian Thailand dalam memastikan keamanan di kawasan sempadan terus dipelihara.
“Kita akan terus mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan bagi memastikan tidak berlaku sebarang peningkatan ketegangan.
“Kita percaya kepada kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua negara untuk memastikan ASEAN terus kekal sebagai sebuah rantau yang aman, stabil dan dinamik,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand berkata, beliau menghargai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam proses dialog damai di selatan Thailand.
Katanya, beliau turut menghargai jaminan tegas Perdana Menteri Malaysia bahawa negara ini tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan terus bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kami juga berpuas hati dengan kerjasama erat antara agensi pertahanan dan keselamatan kedua-dua negara.
“Saya turut mengalu-alukan lawatan Menteri Pertahanan Thailand ke Malaysia pada minggu depan bagi memperkukuh lagi kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua negara,” katanya.
Anutin berkata, Malaysia dan Thailand turut bersetuju meningkatkan kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi menyelaras langkah-langkah keselamatan di sepanjang Sungai Golok.
Selain itu, katanya, kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan dalam pemantauan paras air serta usaha mengurangkan risiko banjir di Lembangan Sungai Golok.
Menyentuh hubungan ekonomi, beliau berkata, Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar Thailand dalam ASEAN dengan nilai perdagangan dua hala mencecah kira-kira AS$28 bilion.
“Kami yakin sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion akan dapat dicapai tidak lama lagi hasil kerjasama yang sedang diperkukuhkan ketika ini.
“Jawatankuasa Perdagangan Bersama juga akan bermesyuarat bagi menetapkan sasaran perdagangan baharu yang lebih bercita-cita tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut komited memperkukuh rantaian nilai dan rantaian bekalan serantau dengan memanfaatkan kekuatan ekonomi masing-masing. – KOSMO! ONLINE














