fbpx
Antara foto kenangan yang dimuat naik Aminuddin bersama penduduk DUN Sikamat.

‘Saya bukan lari dari Sikamat, ingin berbakti kepada penduduk Linggi pula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan keputusan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi bukan kerana meninggalkan atau ‘lari’ daripada kerusi Sikamat yang diwakilinya selama empat penggal.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri bagi meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan baharu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Aminuddin berkata, sepanjang lebih sedekad menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, kawasan itu menjadi saksi permulaan perjalanan politiknya sehingga diangkat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Saya bukan lari dari Sikamat. Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang, sampai menjadi Menteri Besar pun saya masih di Sikamat.

“Tahun 2008, Sikamat yang sudi memenangkan saya. Kerjaya politik saya bermula di sana. Susah dan lelah saya, penduduk Sikamat yang tahu. Daripada sebuah pejabat kecil di atas kedai, sehinggalah sekarang, semuanya dibina bersama rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, ketika bergelar wakil rakyat pembangkang dengan peruntukan yang terhad, pelbagai usaha dilakukan bersama penyokong dan penduduk bagi mendapatkan dana untuk membantu masyarakat setempat.

Menurutnya, hubungan yang terjalin bersama penduduk Sikamat kini bukan lagi sekadar antara wakil rakyat dan rakyat, sebaliknya sudah dianggap seperti sebuah keluarga.

Katanya, setiap kali kembali ke Sikamat untuk menghadiri program bersama penduduk, beliau berasa seolah-olah pulang ke kampung sendiri.

“Di Sikamat, saya bersilaturrahim dengan ramai orang. Daripada hubungan ADUN dan rakyat, sekarang kami rapat macam keluarga. Isteri dan anak-anak saya pun sudah selesa dengan penduduk Sikamat.

“Saya ‘pass baton’ bertanding di kerusi Sikamat kepada Ustaz Norazman. Saya dah pesan, jaga Sikamat. Saya sayang Sikamat. Terima kasih Sikamat,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau memilih untuk bertanding di DUN Linggi kerana mahu terus berbakti kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya ke Linggi atas kehendak saya sendiri. Ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi. Jika Allah mengizinkan kemenangan, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk penduduk di DUN Linggi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bakal bertanding di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.

Pengumuman itu sekali gus menyaksikan Aminuddin meninggalkan kubu kuatnya kerusi DUN Sikamat yang dimenangi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Kerusi DUN Sikamat pula akan ditandingi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Nor Azman Mohamad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN