KUALA PILAH – Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan keputusannya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi bukan kerana kawasan berkenaan dianggap sebagai kerusi selamat, sebaliknya mahu menawan salah satu kubu tradisi Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, DUN Linggi merupakan kawasan yang telah dimenangi BN dalam beberapa pilihan raya lalu, sekali gus menjadikan pertandingan di kerusi tersebut satu cabaran besar kepada parti berkenaan.
“Linggi bukan kerusi selamat. Linggi merupakan salah satu kubu kuat UMNO dan BN. Mereka telah menang banyak kali di situ dan secara tradisinya memang memenangi kerusi tersebut.
“Kita pernah bertanding di Linggi sebelum ini, tetapi kita kalah. Kali ini saya bertanding di situ kerana mahu berusaha memastikan Pakatan Harapan berjaya memenangi kerusi berkenaan,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PH di Dataran Melang, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Aminuddin turut memohon restu dan sokongan pengundi DUN Linggi untuk memberinya peluang berkhidmat dengan lebih dekat kepada masyarakat di kawasan tersebut.
Beliau berkata, kewujudan pelabuhan serta pembangunan kawasan perindustrian berhampiran Linggi mempunyai potensi besar untuk merancakkan ekonomi dan meningkatkan kemakmuran penduduk setempat.
Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Negeri Sembilan meninggalkan kerusi Sikamat yang disandangnya selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Katanya, kesemua 36 calon yang diperkenalkan PH merupakan individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman.
“Ada yang muda, ada yang tua, ada ustaz, ada ustazah, ada peguam, ada akauntan, ada anak peneroka, generasi kedua. Insya-Allah yang ada hari ini pasukan saya untuk Negeri Sembilan akan datang,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan 36 calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke- 16 pada 1 Ogos ini.
DUN Linggi dimenangi Datuk Mohd. Faizal Ramli daripada BN dengan majoriti 1,461 undi pada 2023.
Pada majlis sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menamakan Aminuddin sebagai ‘poster boy’ PH Negeri Sembilan serta tonggak utama jentera gabungan itu. – KOSMO! ONLINE















