KLUANG – Seorang murid sekolah rendah maut selepas dipercayai dilanggar bas sekolah yang dinaikinya di Taman Sri Lalang di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu, mangsa yang berusia tujuh tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat kelas di sebuah sekolah rendah agama berhampiran kawasan kediaman tersebut.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Muhammad Umar Mohd. Faaiz turun dari bas sekolah dan berjalan menuju ke rumahnya.
Menurut beliau, dalam masa sama bas sekolah dipandu wanita berusia 36 tahun bergerak ke hadapan dan membelok ke kiri tanpa menyedari kanak-kanak tersebut berada berhampiran sehingga menyebabkan perlanggaran.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh dan mengalami cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Pemandu bas akan ditahan untuk ujian saringan air kencing. Wanita itu pengsan dipercayai terkejut menyaksikan kejadian tersebut dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom,”katanya ketika dihubungi.-KOSMO! ONLINE















