PETALING JAYA – Pengorbanan seorang bapa bersengkang mata hingga lewat malam untuk mengeringkan buku sekolah anaknya menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh _suhailaramli, sikap prihatin suaminya terbongkar selepas semua ahli keluarga sudah tidur lena.
Pada mulanya, si bapa berpura-pura tenang tanpa sebarang reaksi apabila air tertumpah di dalam beg sekolah anaknya.
“Buku sekolah anak basah, air tumpah dalam beg. Suami nampak macam tidak kisah, tapi bila semua dah lena, alih-alih dia tolong keringkan pakai vakum,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Katanya, suaminya duduk di lantai seorang diri menggunakan vakum untuk mengeringkan setiap helaian buku tersebut secara berhati-hati.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji pengorbanan lelaki tersebut yang sanggup bersusah payah bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan anaknya pada keesokan hari.
“Ayah adalah hero. Macam mana dia buat tak tahu pun hujung-hujung tetap ada penyelesaiannya,” kata Instaatien.
“Bukan tak kisah, tapi bila dia dapat tahu kejadian itu, dalam kepala berpusing cari jalan macam mana nak kering dengan cepat tanpa gangguan. Sebab itu dia tunggu anak-anak tidur, baru buat kerja,” jelas Frbd.hulaimi.
Malah, ada netizen mengakui golongan bapa sememangnya kerap melakukan perkara di luar jangkaan yang tidak didedahkan di hadapan anak-anak.
“Salah satunya esok subjek Pendidikan Seni kena bawa tanah liat. Malam kedai sudah tutup baru bagitahu. Kita dah menggelabah, tahu-tahu esok pagi nak ke sekolah barang sudah ada,” ujar Azamjeni. – KOSMO! ONLINE
View on Threads















