IPOH – Yayasan Perak menambah 10,567 buku rujukan tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelolaannya untuk diedarkan kepada pelajar sekolah harian di seluruh negeri.
Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, tambahan itu menjadikan jumlah naskah diagihkan menjadi 63,567 naskhah yang akan memanfaatkan hampir 25,000 orang calon SPM tahun ini.
“Jumlah ini meningkat berbanding lebih 53,000 naskhah yang diedarkan pada tahun lalu, dengan keseluruhan peruntukan kira-kira RM1 juta.
“Inisiatif ini turut diperluaskan buat pertama kalinya kepada calon SPM berpotensi lulus di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” katanya kepada pemberita di Hotel Kinta Riverfront di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir pada Majlis Apresiasi SPM, STPM dan STAM 2025 anjuran bersama Jabatan Pendidikan negeri dan Yayasan Perak.- KOSMO! ONLINE















