GOMBAK – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencederakan dua individu menggunakan senjata tajam selepas menceroboh sebuah rumah di Kampung Baru Kundang, Rawang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam.
“Suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk telah meluru masuk ke kawasan hadapan rumah jirannya sebelum membuat kekecohan.
“Suspek dipercayai bertindak menyerang keluarga pengadu dengan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, akibat kejadian, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan
Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya menahan seorang lelaki, kira-kira pukul 12 tengah hari ini serta merampas barang kes.
“Suspek kini ditahan dan permohonan reman akan dipohon bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Menurut Ibrahim, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Gombak, Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-3491233. – KOSMO! ONLINE















