CYBERJAYA- Seorang lelaki warga asing berusia awal 20-an ditahan selepas dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah taman permainan berhampiran pasar raya di Cyberjaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek ditahan selepas seorang wanita tempatan membuat laporan polis pada pukul 7.18 malam mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata, wanita berkenaan mendakwa melihat suspek memasukkan tangan ke dalam seluar sebelum menggosok kemaluannya secara berulang kali sambil merenung ke arahnya di kawasan taman permainan tersebut.
“Bimbang terhadap keselamatan diri, wanita itu mendapatkan bantuan orang awam yang berada di lokasi.
“Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh beberapa orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis yang tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Norhizam berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali.
Norhizam berkata, polis memandang serius sebarang perlakuan tidak bermoral yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE















