fbpx
Lih Kang (tiga kiri) bersama peserta yang menyertai Techlympics dalam memperkasa bakat sains dan STI baru-baru ini.

Malaysia Techlympics 2026 sasar penyertaan 1.8 juta pelajar, perkasa bakat sains

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyasarkan penyertaan 1.8 juta pelajar dan belia bagi menyertai Malaysia Techlympics 2026, seterusnya memperkasa bakat sains serta teknologi dan inovasi (STI) negara menerusi pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI).

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, sebanyak 90 pertandingan ditawarkan merangkumi 182 modul STI pada tahun ini berbanding 93 modul STI pada tahun lepas.

Katanya, ia termasuk pertandingan tenaga baharu, dron, robotik, kejuruteraan, forensik, percetakan 3S, AI, keselamatan siber, bioteknologi serta teknologi hijau.

“Antara pembaharuan utama diperkenalkan pada edisi kali ini ialah penggunaan AiRIMAU merupakan platform pembelajaran pintar yang membolehkan peserta meneroka teknologi Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI).

“Pengenalan platform ini mencerminkan komitmen Mosti untuk memastikan generasi muda Malaysia mendapat pendedahan awal kepada teknologi masa hadapan serta membina keupayaan mereka untuk memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kreatif dan beretika,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi pelaksanaan lebih berkesan, penganjuran MT2026 pada tahun digerakkan secara kolaboratif melalui kerjasama pelbagai kementerian dan jabatan, khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) selain agensi kerajaan, rakan industri serta kerajaan negeri.

“Pelbagai program jangkauan keterangkuman telah dilaksanakan di beberapa sekolah luar bandar terpilih bagi memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di kawasan itu, sekali gus menyemarakkan minat pelajar dan belia terhadap pendidikan berasaskan STI. 

“Program ini juga meneruskan komitmen terhadap keterangkuman dengan memberi penekanan kepada penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya.

Untuk maklumat, pertandingan saringan Malaysia Techlympics Peringkat Zon akan bermula di Zon Selatan yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, Johor sebelum diteruskan ke Zon Tengah (Universiti Sains Islam Malaysia), Zon Timur (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ), Zon Timur 2 (Universiti Malaysia Kelantan), Zon Utara (Kulim Hi-Tech Park), Zon Sabah (Universiti Malaysia Sabah ) dan berakhir di Zon Sarawak (Universiti Teknologi Sarawak). 

Siri pertandingan mengikut zon ini akan berlangsung dari Julai hingga September 2026.

Acara Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 pula dijadualkan berlangsung pada November 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN