fbpx
Amirudin pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Tikam pelajar: JPNS bentang laporan kepada MTES, teliti perluas mesin pengimbas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperkukuh sokongan kesihatan mental di sekolah termasuk memperluaskan penggunaan mesin pengimbas keselamatan susulan insiden tikaman pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat dekat sini. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) akan membentangkan laporan lengkap mengenai insiden itu pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat dalam masa terdekat bagi menentukan tindakan susulan.

“JPNS akan membentangkan laporan kepada MTES dalam mengambil langkah susulan menangani isu kesihatan mental turut menyebabkan masalah buli atau tindakan jenayah yang tidak diingini. 

“Jadi, kita akan tunggu kertas sokongan daripada JPNS. Kerajaan negeri sedia membantu dengan jaringan sedia ada sebelum ini khusus dalam meningkatkan kesedaran penduduk termasuk anak-anak muda tentang simpton dan kesan kesihatan mental ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di sini hari ini. 

Mengulas cadangan memperluaskan penggunaan mesin pengimbas di sekolah, Amirudin berkata, perkara itu masih memerlukan penelitian berikutan kos penyediaan dan penyelenggaraannya yang tinggi.

“Itu kita akan susulkan nanti sebab kos agak tinggi, mungkin kita akan tengok kalau ada keperluan kita akan bincang untuk tambah. 

“Tetapi akhirnya kerajaan boleh memulakan inisiatif daripada peringkat awal. Penyelenggarannya terhadap sistem itu perlukan sokongan daripada ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah. 

“Kalau PIBG dan sekolah mempunyai keupayaan, saya alukan memperkenalkan imbasan yang telah diperkenalkan di (sebuah sekolah menengah) Damansara Utama,” katanya. 

Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sehingga 16 kali oleh rakannya ketika hendak duduk selepas membeli roti di kawasan sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat. 

Tertuduh yang juga berusia 15 tahun telah didakwa di Mahkamah Telok Datok atas cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta diperintahkan menjalani penilaian dan rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN