PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Perlis, Kedah serta beberapa kawasan di Perak sehingga pukul 3 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat di Perak ialah Larut, Matang dan Selama serta Hulu Perak yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
Menurut MetMalaysia, amaran itu dikeluarkan susulan terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi tempoh sejam.
“Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 12 tengah hari tadi.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE















