IPOH – Seorang guru pelatih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd. Zalani Sham, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan enam perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun tiga bulan di sebuah rumah di Persiaran Guntong, Kampung Chakadi, Ipoh antara pukul 1 pagi hingga 7.26 pagi pada 5 Julai 2026.
Daripada jumlah itu, lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) akta sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, selain hukuman tambahan jika sabit kesalahan kerana mempunyai hubungan amanah sebagai guru terhadap mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa mencadangkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Ameer Firdaus Mohd. Amir memohon jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan alasan anak guamnya merupakan guru pelatih di sebuah universiti tempatan yang kini sedang menunggu keputusan peperiksaan dan panggilan temu duga.
Menurut beliau, tertuduh juga tidak berisiko melarikan diri memandangkan lelaki itu hadir ke mahkamah secara sukarela selepas dibebaskan dengan jaminan polis.
“Tertuduh yang berasal dari Pulau Pinang juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan berhasrat membersihkan namanya bagi meneruskan kerjaya sebagai penjawat awam.
“Saya memohon mahkamah membenarkan jaminan sekitar RM5,000 untuk semua pertuduhan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE















