SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan calon mereka akan bertanding menggunakan simbol Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat malam ini selepas rundingan pembahagian kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan gagal dimuktamadkan.
“Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan keputusan unilateral Pas yang bertentangan dengan kepentingan PN.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Pas untuk memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN dan jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ini selepas dakwaan Pas mengadakan rundingan politik dengan BN tanpa persetujuan PN.
Beliau berkata, Bersatu berpendirian bahawa perkara itu mesti dibincangkan dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu kerana ia melibatkan dasar dan hala tuju parti yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi.
“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa tarikh baharu untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota.
“Oleh kerana Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN, maka Bersatu akan meletakkan calon-calon parti bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon akan menggunakan simbol Bersatu,” katanya.-KOSMO! ONLINE















