KUALA LUMPUR – Pelakon Nafiz Muaz mengakui tidak berkecil hati apabila kurang menerima tawaran watak utama dalam mana-mana naskhah lakonannya.
Menurut Nafiz atau nama sebenarnya Muhd. Nafiz Muaz Mat Nasir, 28, dia lebih mementingkan kualiti berbanding mengejar populariti.
“Niat saya ketika mula menceburi bidang seni adalah semata-mata untuk berlakon, bukan mahu mengejar watak utama.
“Saya sedar nama agak perlahan untuk dikenali meskipun sudah sedekad bergelar pelakon tapi saya sentiasa percaya dengan rezeki Tuhan.
“Saya buat sahaja kerja yang diberikan dan orang masih mempercayai bakat ini — saya akan terus berkarya yang terbaik, insya-Allah,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan drama Yes! Captain Zul Aaryan di sini, baru-baru ini.
Nafiz juga menolak dakwaan dia terpaksa memegang watak pembantu susulan kurang menerima tawaran sebagai hero.
“Sebenarnya tawaran untuk watak utama ada tetapi kebanyakan untuk stesen televisyen lain. Ketika ini ada dua drama yang saya pegang watak utama.
“Sebab itu saya tidak bimbang meski diberikan watak pembantu mahupun hero.
“Saya okey sahaja selagi gembira dengan apa yang dilakukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia tidak berasakan lambakan pelakon baharu hari ini menyekat rezekinya untuk memegang watak utama.
“Siapa saya untuk mempertikai rezeki dan peluang yang mereka dapat.
“Tugas saya sebagai pelakon adalah untuk memberikan sokongan antara satu sama lain.
“Tidak kiralah pelakon itu baharu atau lama, saya akan cuba bantu selagi mereka tidak melanggar disiplin di set penggambaran,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nafiz kini muncul menerusi drama Yes! Captain Zul Aaryan arahan Nizam Zakaria ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.
Selain Nafiz, naskhah 30 episod tersebut membariskan pelakon lain seperti Jazmy Juma, Anna Jobling, Natasha Sass dan Daniel Fong. – KOSMO! ONLINE















