PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa Network School yang beroperasi di Forest City, Johor bukan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang berdaftar di bawah kementerian.
KPT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, semakan mendapati Network School tidak berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), sekali gus tidak diiktiraf atau dikawal selia oleh kementerian itu.
Menurut KPT, penjelasan itu dibuat susulan isu yang tular berhubung pengoperasian Network School di Forest City serta pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengannya.
“KPT juga mendapati tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan mana-mana Universiti Awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan Network School berdasarkan rekod sedia ada,” katanya.
Kementerian berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman swasta dan ruang kerja bersama (co-working space) yang disasarkan kepada golongan usahawan teknologi, pelabur serta pengamal digital pemula (startup).
Pada masa sama, KPT memaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti isu berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“KPT akan terus memantau perkembangan isu ini dan memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi penguat kuasa bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi serta kepentingan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa terpelihara,” katanya.-KOSMO! ONLINE















