LUMUT – Sebuah kapal kargo asing jenis bulk carrier yang berdaftar di Panama ditahan selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 43.3 kilometer (km) barat daya Tanjung Lumba-Lumba di sini petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Shukri Khotob berkata, kapal itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim Lumut sebelum maklumat disalurkan Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.
“Pemeriksaan mendapati kapal itu disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Susulan pemeriksaan itu, katanya, tiga kru terdiri daripada seorang warga Rusia berusia 34 tahun dan dua warga Myanmar berusia 33 dan 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri bagi membantu siasatan.
“Dokumen berkaitan kapal turut disita dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi melengkapkan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Dalam kes berasingan, katanya, pihaknya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang perikanan dan perkapalan di perairan negeri ini.
Katanya, VNT itu ditahan kira-kira pukul 9.55 pagi semalam pada kedudukan 3.7 km barat laut muara Sungai Burung di sini ketika bot ronda Maritim Malaysia (APMM) melakukan operasi.
Menurut Mohd. Shukri, pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan tekong tempatan berusia 56 tahun.
“Pemeriksaan mendapati vesel itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan selain gagal mempamerkan lesen sebagaimana ditetapkan,” katanya.
Katanya, tekong itu ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti APMM untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














