PETALING JAYA – Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa gambar yang diterimanya daripada jurugambar diubah secara berlebihan menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga mengubah fizikal individu serta pakaian asal dalam foto berkenaan.
Perkara itu dikongsikan pengguna Threads, @Man_syahir, yang mempersoalkan sama ada penggunaan AI secara melampau merupakan amalan biasa dalam kalangan jurugambar profesional.
“Dalam gambar yang diedit, fizikal individu berubah sehingga kelihatan seperti ‘alien’, malah pakaian asal juga bertukar daripada baju Melayu kepada blazer. Adakah perkara seperti ini normal dalam dunia fotografi profesional?” soalnya.
Menerusi hantaran susulan, dia turut berkongsi gambar asal bagi menunjukkan perbezaan ketara antara foto asal dan gambar yang didakwa telah melalui suntingan AI.
“Perhatikan pakaiannya. Daripada baju Melayu bertukar menjadi blazer. Mana ada orang menghadiri majlis perkahwinan dengan memakai blazer. Ini ialah gambar asal,” katanya.
Menurutnya, dia tidak berniat memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu mendapatkan penjelasan kerana mendakwa terdapat banyak lagi gambar yang mengalami masalah termasuk kabur, wajah tidak jelas dan ada yang tidak dapat dibaiki.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang berpendapat penggunaan AI secara berlebihan boleh menjejaskan kualiti gambar serta mengubah identiti sebenar individu dalam foto.
Pengguna @Angryhamtaro berkata, penggunaan AI secara berlebihan boleh menjejaskan kualiti imej dan mengubah ciri-ciri wajah individu apabila proses suntingan dilakukan berhampiran bahagian muka.
“Penggunaan AI secara berlebihan ketika proses penyuntingan boleh menyebabkan herotan pada kualiti gambar, termasuk mengubah bentuk wajah apabila suntingan dilakukan di kawasan tersebut,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Wakjemi65, berpendapat jurugambar profesional sepatutnya memastikan hasil gambar sudah berkualiti ketika rakaman dibuat dan hanya melakukan suntingan minimum selepas itu.
“Jurugambar profesional tidak perlu melakukan suntingan sehingga merosakkan gambar. Mereka sepatutnya memastikan gambar sudah cantik ketika menekan butang pengatup kamera dan meminimumkan kerja pascaproses,” katanya.
Pengguna @Jiahmd_ pula berkata, wajah merupakan elemen paling penting dalam sesebuah gambar dan tidak sepatutnya terlepas daripada proses semakan sebelum dihantar kepada pelanggan.
“Sebagai pelanggan, saya juga akan berasa kecewa. Tidak mengapa jika mahu membuang objek tertentu, tetapi semak semula gambar sebelum dikongsi dengan pelanggan. Wajah ialah perkara paling penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE















