KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengingatkan orang ramai yang ingin melancong ke Thailand dengan kenderaan sendiri supaya mendapatkan lesen memandu fizikal dengan bayaran hanya RM20.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, permohonan lesen itu bagi mengelak rakyat Malaysia daripada dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand.
“Kita memang ada mengeluarkan lesen fizikal dengan bayaran RM20 sahaja. Bagi pemanduan dalam negara sudah memadai lesen digital, namun untuk ke luar negara termasuk Thailand memerlukan lesen fizikal.
“Selain lesen fizikal, orang ramai yang hendak ke luar negara juga boleh berurusan dengan kaunter JPJ untuk mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kucha Sugho di Ibu pejabat Queen Express di Padang Tembak di sini hari ini.
Mengulas mengenai rakyat Malaysia yang disaman oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini berikutan gagal mengemukakan lesen fizikal, Mohd. Misuari memberitahu, perkara tersebut merupakan bidang kuasa pihak di negara berkenaan.
Menurutnya, bagi mengelak tindakan itu berulang, JPJ menasihatkan orang ramai yang mahu ke negara jiran supaya membawa lesen fizikal.
“Kita sudah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan pihak berkuasa di Narathiwat berhubung lesen digital yang terpakai di negara ini, namun maklumat itu mungkin tidak sampai secara menyeluruh. Rakyat Malaysia terkenal dengan disiplin dan saya berharap kita dapat kekalkan disiplin dengan mengambil tahu peraturan di negara yang kita lawati,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu Malaysia disaman sebanyak 1,000 baht atau RM121 kerana gagal menunjukkan lesen memandu fizikal dalam sekatan jalan raya di Hatyai, Thailand. – KOSMO! ONLINE















