KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang pelanggan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Long Yunus dekat sini kira-kira dua bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Hazriq Aiman Ab. Ghani, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamun Mohamad Muhammad Safwan Rosdi, 22, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Long Yunus di sini kira-kira pukul 3.56 pagi pada 7 Mei 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyimie Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Terdahulu, Kamarul Hasyimie tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE















