SETIU – Seorang bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir nekad berhenti sebagai guru sebuah sekolah swasta untuk menjadi usahawan arang yang mampu menjana pendapatan lumayan melalui pengeluaran 20 tan metrik sebulan.
Mohd. Hamiz Zahiruddin Zahari, 31, berkata, perusahaan arang diperbuat daripada tempurung kelapa yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu kini semakin berkembang.
Graduan Sarjana Muda Syariah Perundangan itu berkata, minatnya bermula selepas melawat salah sebuah kilang di Kuala Selangor pada tahun 2018.
“Atas restu ayah (Zahari Idris, 61), saya nekad berhenti kerja sebagai guru sebelum belajar menghasilkan arang tempurung kelapa lalu menjadi usahawan,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol di sini semalam.
Menurut Mohd. Hamiz Zahiruddin, pembuatan arang bermula pembakaran tempurung kelapa di dalam tong dram antara lima hingga lapan jam.
Tambahnya, arang akan dibiarkan sejuk sebelum akan dibentuk mengikut saiz ditetapkan.
“Proses pembakaran dilakukan di dalam kebun kelapa sawit milik keluarga saya yang jauh dari penempatan manusia.
“Arang tempurung kelapa biasanya popular sebagai bahan bakar masakan dan hookah (arang shisha),” katanya.
Ujar Mohd. Hamiz Zahiruddin, arang tempurung kelapa digemari dalam kalangan pengusaha kedai makan dan restoran kerana cirinya yang kurang menghasilkan asap dan lebih tahan lama.
Beliau berkata, setakat ini, permintaan semasa arang tempurung kelapa kira-kira lima tan seminggu.
“Saya turut menggaji penduduk kampung untuk bekerja sambilan membantu saya mengusahakan arang tempurung kelapa ini.
“Harapan saya perusahaan ini dapat berkembang sehingga menjadi pusat pengumpulan arang tempurung kelapa di daerah ini,” katanya.















