fbpx
Gambar Hiasan

Pengisian guru prasekolah capai 99.8 peratus – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengisian jawatan guru prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mencapai 99.8 peratus daripada keperluan keseluruhan setakat 1 Julai lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu melibatkan 10,478 guru prasekolah yang ditempatkan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran operasi pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut beliau, KPM turut menempatkan 1,202 guru prasekolah baharu sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, selaras dengan usaha kementerian menampung peningkatan permohonan kemasukan ke prasekolah.

“KPM memastikan pengisian dan penempatan guru dibuat dengan teratur di seluruh negara.

“Pengambilan guru tambahan turut dirancang secara berfasa dan sistematik, selaras dengan unjuran peningkatan enrolmen di setiap kawasan bagi memastikan nisbah guru dan murid kekal optimum,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai kesiapsiagaan KPM menampung peningkatan permohonan kemasukan prasekolah termasuk aspek bilik darjah, guru dan kemudahan pembelajaran.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM sentiasa bersiap sedia dan komited dalam memastikan setiap kanak-kanak memperoleh akses pendidikan awal berkualiti sebelum memasuki Tahun Satu.

Katanya, pembukaan kelas prasekolah baharu dilaksanakan secara terancang dan berperingkat berdasarkan keperluan sebenar sesuatu kawasan, termasuk di luar bandar serta kawasan berkeperluan tinggi.

Setakat 31 Mei lalu, beliau berkata, sebanyak 10,491 kelas prasekolah telah beroperasi di seluruh negara, memberi manfaat kepada 217,026 murid.

“Usaha ini merangkumi pewujudan kelas prasekolah di institusi pendidikan sedia ada di bawah KPM serta pembukaan kelas baharu di kawasan yang masih mempunyai akses terhad kepada pendidikan prasekolah.

“Penentuan lokasi pembukaan dan peluasan kelas tidak dibuat secara ad hoc, sebaliknya berasaskan penilaian menyeluruh terhadap beberapa faktor kritikal,” ujarnya.

Antara faktor dinilai termasuk bilangan kanak-kanak dalam lingkungan umur layak, permintaan setempat, kapasiti kemudahan sedia ada, jarak ke institusi pendidikan awal kanak-kanak berhampiran, kesesuaian prasarana serta unjuran enrolmen kawasan.

Dalam masa sama, Wong berkata, KPM turut memperkukuh latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan bagi guru prasekolah.

Jelasnya, latihan itu penting bagi memastikan guru mempunyai kelayakan serta kompetensi selaras dengan standard pendidikan awal kanak-kanak, selain menyokong penyediaan kemudahan pembelajaran berkualiti di setiap kelas prasekolah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN