SHAH ALAM – Semakin akrab, usahawan sensasi Datuk Seri Vida mendedahkan wujud perbincangan awal untuk membawa hubungannya bersama penyanyi Datuk Fazley Yaakob ke fasa seterusnya.
Namun, Vida atau nama asalnya Hasmiza Othman, 54, enggan terburu-buru dalam membuat keputusan dan lebih fokus mendalami karakter masing-masing.
“Ada (bincang fasa seterusnya) tetapi berbincang lebih dalam itu tak lagi. Kena bagi masa, banyak perancangan kena buat dan perlu difikirkan.
“Fasa demi fasa, tapi normal kan kalau dua orang bermesyuarat mesti ada bincang-bincang juga.
“Yang bahagian (fasa seterusnya) belum lagi secara mendalam. Kita kenal (dulu) hati budi, boleh ke terima cara saya bekerja dan kontroversi saya,” katanya kepada Kosmo! Online semasa konsert minggu ketiga Big Stage X Rocketfuel, semalam.
Pada masa sama, pelantun lagu I Am Me itu menegaskan hubungannya dengan Fazley bukan satu gimik tetapi keserasian mereka lahir secara semula jadi.
“Bukan gimik, yang benar itu. Dalam siaran langsung macam buat mesra tetapi bukan buat-buat ya.
“Memang mesra betul dan sesuatu yang besar akan berlaku nanti.
“Mungkin orang fokus kepada kami kerana rasa macam fenomena saya dan Fazley. Pelik kot orang tua bercinta,” katanya lagi.
Menjawab kritikan segelintir pihak yang kurang senang dengan kemesraan mereka, Vida menyifatkan gandingan mereka disebabkan aura positif dan bukannya paksaan untuk tular.
“Apa yang nak geli? Saya berniaga, apa yang berlaku saya berniaga tetapi selebihnya datang secara semula jadi daripada hati.
“Bukan kata saya buat macam-macam untuk menarik perhatian orang untuk tengok.
“Orang tengok sebab apa? Saya rasa kejujuran dan keikhlasan yang lahir daripada saya dan Fazley,” ujarnya.
Sebelum ini, Fazley dan Vida didakwa sedang bercinta susulan tular beberapa video memaparkan keakraban mereka selepas menyertai TTMM2.
Fazley bahkan mendedahkan, nekad meluahkan perasaan sayang kepada Vida pada hari bersejarah dalam kalendar Islam baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE















