fbpx
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun (tiga dari kanan) meninjau persiapan akhir petugas SPR menjelang hari mengundi PRN Johor ke-16, di Pontian, semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

Parti mana pilihan orang muda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Keputusan parti mana akan memimpin kerajaan Johor untuk lima tahun akan datang terletak di tangan 1.3 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun yang menjadi blok terbesar pengundi berdaftar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 hari ini.

Mereka merupakan antara 2,727,926 juta pengundi yang layak membuat pilihan di 1,190 pusat mengundi melibatkan 4,980 saluran bagi menjadi penentu kemenangan 172 calon yang bertanding untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Walaupun jumlah pengundi berusia 18 hingga 20 tahun menurun kepada 169,380 berbanding 173,197 diikuti kelompok usia 21 hingga 29 kepada 544,843 pada PRN 2022, golongan 30 hingga 39 tahun pula meningkat kepada 587,121 sekali gus membentuk kuasa pengundi baharu yang matang dan berpengaruh.

Kematangan kelompok pengundi muda disebabkan beberapa faktor termasuk berada pada fasa membina kerjaya dan keluarga menyebabkan isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, pendidikan dan pembangunan ekonomi menjadi antara pertimbangan utama ketika memilih kerajaan negeri.

Berdasarkan statistik IRIS Institute, perubahan demografi pengundi menunjukkan undi kelompok tersebut amat bernilai dalam menentukan hala tuju negeri ketika ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati golongan muda kini tidak lagi mudah dipengaruhi retorik politik semata-mata, sebaliknya le­bih cenderung menilai prestasi, rekod perkhidmatan serta kemampuan calon menyelesaikan masalah rakyat.

Pengundi pertama kali, Heryn Najwa Herman, 21, berkata, dia mahu menggunakan hak me­ngundi dengan sebaik mungkin dan memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rak­yat, bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Saya mahu wakil rakyat yang sentiasa bersama rakyat, mendengar masalah mereka dan melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya.

Bagi V. Rogini, 18, pula, wakil rakyat perlu sentiasa turun padang tanpa mengira musim kerana rakyat memerlukan pe­mimpin yang hadir ketika susah dan senang, manakala R. Umesh, 20, berkata, beliau akan menilai latar belakang calon serta parti sebelum membuat pilihan.

petugas SPR menolak kerusi roda yang akan digunakan oleh pengundi yang memerlukan terutama warga emas bagi memastikan PRN Johor ke-16 berjalan lancar hari ini.

Sementara itu, Muhammad Najmi Noor Azam, 27, berkata, selain memilih calon berwibawa, beliau berharap kerajaan yang dibentuk selepas PRN Johor adalah sebuah kerajaan yang stabil supaya pembangunan dapat diteruskan dan bantuan kepada rakyat dapat disalurkan secara berkesan.

“Kerajaan yang stabil penting supaya ekonomi terus berkembang, peluang pekerjaan bertambah dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Kami tidak mahu politik berpanjangan yang akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.

Bagi Muhammad Saiful Den­nial Helmizi, 19, pula, kerajaan yang dipilih perlu memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan golongan muda seperti peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan belia dan kos sara hidup, selain memastikan suara generasi muda terus didengari dalam pentadbiran negeri.

PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon daripada lapan parti politik dan calon Bebas bertanding, dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) di 33 kerusi.

Turut bertanding ialah Parti Bersama Malaysia, Muda, Parti Orang Asli Malaysia (POA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta calon Bebas.

petugaS SPR mengemas barangan dan peralatan di Dewan Serbaguna Permas, Pontian semalam.

Keputusan yang bakal diumumkan malam ini bukan sahaja menentukan siapa bakal me­nerajui pentadbiran Johor, malah akan menjadi gambaran jelas sejauh mana suara dan aspirasi pengundi muda berjaya mempengaruhi landskap politik negeri.

Dengan jumlah mereka yang semakin besar dan lebih matang dalam membuat pilihan, golo­ngan muda kini bukan lagi sekadar pelengkap demokrasi, sebaliknya muncul sebagai penentu sebenar masa depan Johor.

Pada PRN Johor sebelum ini, BN mencatat kemenangan besar apabila memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan mandat kukuh.

Pada pilihan raya itu, BN me­nguasai 40 kerusi yang terdiri daripada 33 kerusi UMNO, empat MCA dan tiga MIC.

PH pula memenangi 12 kerusi menerusi DAP (10), PKR (1) dan Amanah (1), manakala PN memperoleh tiga kerusi menerusi Bersatu (2) dan PAS (1). Muda pula mencipta kejutan apabila memenangi satu kerusi DUN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN