PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemilikan dua pasport yang tular di media sosial, termasuk dipercayai membabitkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, sepasukan enam pegawai imigresen menyerbu sebuah kontena di Jalan Kuantan Bandar Damansara, Kuantan pada pukul 6.30 petang semalam sebelum menemui seorang lelaki warga Bangladesh di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan dua naskhah PMA yang telah tamat tempoh sah laku masing-masing pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022 serta sebuah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan.
“Lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua naskhah PMA dan Buku Perkhidmatan Pelaut tersebut, di samping menyiasat kemungkinan wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau kesalahan lain.
“JIM memandang serius setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














