JERLUN – Dengan hanya bermodalkan surat yang kononnya dikeluarkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, seorang lelaki warga Thailand yang memakai jubah dan berserban didakwa masuk ke kampung-kampung di sini untuk meminta derma.
Penduduk Ayer Hitam, di sini, Mohd. Zaidi Desa, 43, berkata, dia didatangi lelaki tersebut baru-baru ini yang mendakwa mengutip derma bagi sebuah sekolah agama di negara itu.
“Dia datang sambil mengepit sebuah fail dan memaklumkan mahu mengutip derma untuk sekolah agama di negaranya. Saya kemudian meminta dia menunjukkan surat kebenaran sebelum dia mengemukakan satu surat permohonan untuk menjalankan kutipan derma di Malaysia yang didakwa dikeluarkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Surat itu memaklumkan kutipan derma sebanyak RM100,000 bagi tujuan menampung kos pembinaan bangunan sekolah agama tersebut. Namun, surat berkenaan tidak mempunyai tandatangan dan hanya terdapat cop kononnya daripada Konsul Jeneral Malaysia,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Menurutnya, surat tersebut menimbulkan keraguan kerana penggunaan bahasa dan formatnya kelihatan tidak rasmi.
“Dalam fail itu, saya nampak sejumlah wang kertas RM10. Cuba bayangkan, jika seorang penderma menyumbang RM10, berapa banyak yang boleh diperoleh dalam sehari.
“Di kampung saya sahaja terdapat kira-kira 200 rumah. Jika separuh daripada penduduk beri sumbangan, saya anggarkan dia boleh dapat sehingga RM1,000 sehari. Jika bergerak selama 20 hari, jumlah itu boleh mencecah RM20,000,” ujarnya.
Katanya, selain surat berkenaan, terdapat beberapa dokumen lain yang menunjukkan lelaki asing itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak 2018.
“Daripada pemerhatian saya, lelaki itu juga dilihat menyasarkan kawasan yang mempunyai ramai warga emas. Selain itu, terdapat seorang lagi individu warga sama yang mendakwa memohon sumbangan untuk melanjutkan pengajian di universiti.
“Saya nampak lelaki itu minta derma untuk bina bangunan sekolah di Pasar Malam Changlun kira-kira dua tahun lalu, kali ini dia dilihat meminta sumbangan untuk melanjutkan pengajian ke universiti di pasar malam sekitar Perlis pula,” katanya.
Susulan itu, Mohd. Zaidi berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap sindiket penipuan derma yang didakwa telah lama berlaku.
Sementara itu, seorang penduduk di sini, Mohd. Hadzlan Hakimi, 53, berkata, dia juga pernah didatangi lelaki warga Thailand yang meminta derma.
“Dia jalan dari rumah ke rumah dan memaklumkan telah mendapat kebenaran untuk mengutip derma. Saya tidak menderma kerana tidak percaya kepada mereka. Lebih baik saya menyumbang terus kepada pusat tahfiz di negara kita.
“Apabila saya enggan memberi derma, dia terus beredar dan menuju ke rumah lain. Saya percaya masih ada penduduk kampung terutama warga emas yang bersimpati lalu memberikan sumbangan,” katanya.
Menurutnya, warga asing itu bukan sahaja bergerak dari rumah ke rumah, malah turut dilihat meminta derma di hadapan bank dan pasar raya. -KOSMO! ONLINE














