HULU TERENGGANU – Ikan kelah yang merupakan spesies eksotik bernilai tinggi kini semakin popular dipelihara sebagai koleksi ikan hiasan di akuarium dalam kalangan penggemarnya.
Seorang pengusaha ikan hiasan, Muhammad Safwan Mohd. Shakri, 24, berkata, anak ikan kelah bersaiz kecil di bawah 10.16 sentimeter (cm) sesuai dipelihara sebagai ikan hiasan.
Katanya, selain mudah dipeliharan, anak ikan kelah bersaiz kecil juga boleh didapati pada harga lebih murah.
“Biasanya ikan kelah bersaiz antara satu inci (2.54 cm) hinggu dua inci (5.08 cm) saya jual pada harga semurah RM3 seekor.
“Anak ikan kelah bersaiz 10.16 cm ke atas pula dijual pada harga sekurang-kurangnya RM25 seekor,” katanya di Kampung Betong di sini semalam.
Menurutnya, ikan kelah semakin diminati dalam kalangan peminat ikan hiasan kerana keunikan warna sisiknya yang kemerahan.
“Saya mempunyai stok 100,000 ekor anak ikan kelah yang sedia dipasarkan kepada penggemar ikan hiasan. Kesemua anak ikan kelah terbabit dibela di dalam pusat asuhan khas,” katanya.
Ujarnya, kebanyakan bekalan benih ikan kelah itu diperoleh daripada penduduk tempatan yang mencarinya di lembangan sungai berhampiran.














