MELAKA – Seorang prebet tentera yang juga tunangan orang didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak dan memiliki gambar serta video lucah, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 11 tahun dengan cara menarik mangsa ke dalam sebuah rumah kosong, menolak ke dinding dan memaksa mangsa membuka mulut.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang, di dalam sebuah rumah kosong di Kem Terendak, Sungai Udang Melaka pada 12 April lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan memiliki pelbagai gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit miliknya ketika berada di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, 13 April 2026 lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi semua pertuduhan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Amritpal Singh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah bertunang dan bakal menamatkan zaman bujang penghujung tahun ini, selain jaminan itu akan dibuat oleh keluarganya yang kurang berkemampuan.
Raja Noor Adilla kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM 8,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh untuk tidak mendekati mangsa yang juga saksi pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan menetapkan tarikh 26 Mei ini sebagai sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE














