fbpx
Retna Velu (kiri) ketika dibawa kekuar dari Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Penjaga rumah kebajikan ‘sentuh’ 5 budak lelaki dijel lagi 36 tahun, 6 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Seorang penjaga sebuah rumah kebajikan dipenjara lagi 36 tahun serta enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki.

Hakim Ho Kwong Chin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Retna Velu, 25, kekal mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Tamil.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lalu.

Sebelum ini, pada 21 Mei lalu di Mahkamah Sesyen berlainan, tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah enam pertuduhan amang seksual dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki.

Mengikut sembilan pertuduhan hari ini, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 13 tahun (umur sewaktu kejadian).

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Gombak antara bulan November 2025 hingga Mac tahun ini yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) serta 14(b),15(a)(i) dan 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Seksyen 14(a) dan 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 15 (a)(i) dan 15(a)(ii) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memohon diringankan hukuman.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan seksual yang dilakukan tertuduh satu jenayah yang serius.

“Pendakwaan memohon satu hukuman yang memberi kesan pencegahan dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh selain kepentingan awam,” kata Muhammad Hairuliqram.

Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa iaitu Kirthen Subramaniam dan Premila Subramaniam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendedahkan menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves sejak dua tahun lalu.

Mangsa merupakan antara lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan hingga 17 tahun yang mengalami penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan tersebut yang telah beroperasi selama 10 tahun itu.

Dakwanya, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pengasas rumah tersebut yang berusia 31 tahun.

Menurut mangsa, dia diliwat sambil dirakam di tandas rumah kebajikan dengan disaksikan rakan-rakannya selain turut menerima jahitan di kawasan kemaluan disebabkan kejadian itu.

Tambah kanak-kanak tersebut, dia tidak berani untuk memaklumkan insiden itu kepada sesiapa kerana sering dipukul menggunakan batang buluh di kepala selain dilumurkan dengan cili merah di muka.

Selain kanak-kanak tersebut, seorang lagi mangsa lelaki berusia 15 tahun turut mendedahkan perkara sama apabila didera secara seksual sejak empat tahun yang lalu.

Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S.Maran, yang mendedahkan kes tersebut berkata, selain pengasas, terdapat dua lagi pembantunya yang juga terlibat dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN