SEREMBAN – Seorang penari bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Nazri Lanibi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa, kira-kira pukul 12.30 tengah malam di China National Convention Center Grand Hotel, Beijing, China sekitar Jun 2025.
Tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di dapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di kira-kira pukul 12.30 tengah malam di lokasi sama pada 20 dan 21 Jun 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Azrin Zainuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam Mohd. Hanif Hassan yang mewakili tertuduh merayu wang jaminan yang paling minimum dikenakan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Julai depan. – KOSMO! ONLINE














