MELAKA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas kesalahan menceroboh rumah didiami seorang gadis, minggu lalu.
Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fikrie Roslan, 25, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menceroboh rumah seorang wanita berusia 23 tahun yang digunakan sebagai tempat kediaman di Batu 10, Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini kira-kira pukul 4 petang, 30 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bersendirian di rumah ketika kejadian terdengar bunyi ketukan pada pintu biliknya, namun tidak berani keluar kerana ahli keluarganya yang lain keluar bekerja.
Pada masa sama, teman lelaki mangsa yang datang menghantar makanan mendapati pintu rumah terbuka sebelum melihat tertuduh berada di ruang tamu kediaman berkenaan tanpa kebenaran pemilik.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan perlu menjaga ibunya yang menghidap strok separuh badan, selain mengaku dia tidak mengenali mangsa.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak sewenang-wenangnya memasuki rumah orang lain tanpa kebenaran.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tangkap. – KOSMO! ONLINE














