KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran tegas bahawa tiada lagi layanan istimewa akan diberikan kepada mana-mana pemain yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan badan induk itu.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, masalah disiplin membabitkan pemain kebangsaan sudah dikenal pasti dan tindakan akan diambil berdasarkan cadangan Jawatankuasa Prestasi.
Katanya, antara hukuman yang sedang dipertimbangkan ialah menyekat pemain yang mempunyai masalah disiplin untuk menyertai kejohanan antarabangsa sekiranya enggan mematuhi peraturan ditetetapkan BAM.
“BAM dan Jawatankuasa Prestasi menegaskan semula kepentingan disiplin, profesionalisme dan akauntabiliti dalam skuad kebangsaan. Beberapa isu disiplin telah dikenal pasti dan kami memandang serius perkara ini demi pembangunan sukan.
“Salah satu cadangan adalah tidak membenarkan pemain beraksi dalam kejohanan antarabangsa. Kita mahu menjadikannya sebagai contoh, bukan sekadar hukuman kepada pemain terbabit tetapi juga sebagai peringatan kepada pemain lain.
“Perkara ini melibatkan kedua-dua pemain junior dan senior,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM, hari ini.
Sebagai langkah memperketatkan kawalan disiplin, BAM turut memutuskan semua pemain kebangsaan yang belum berkahwin diwajibkan tinggal di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Tengku Zafrul berkata, hanya pemain yang sudah berkahwin atau mempunyai alasan kukuh seperti masalah kesihatan serta tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang uzur akan diberikan pengecualian.
“Majoriti pemain tidak mempunyai masalah dengan keputusan ini. Hanya dua atau tiga pemain sahaja yang masih tidak bersetuju atas sebab tertentu.
“Mereka ada memberikan penjelasan, namun pada pandangan kami alasannya tidak cukup kukuh. Jika alasan berkaitan perubatan atau perlu menjaga ibu bapa yang sakit, itu berbeza.
“Tetapi jika alasannya tidak munasabah, mereka perlu kembali tinggal di asrama. Malah Datuk Seri Lee Chong Wei sendiri tinggal di asrama sehingga beliau bersara,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan BAM tidal akan berkompromi dalam soal disiplin kerana aspek itu menjadi asas penting dalam melahirkan pemain bertaraf dunia serta merealisasikan sasaran negara untuk meraih kejayaan pada kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik. -KOSMO! ONLINE














