BATU PAHAT – Seorang penjual pisang goreng didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan adik ipar perempuan yang sedang tidur dalam bilik, dua bulan lalu.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman terbabit terhadap tertuduh berusia berusia 31 tahun selepas mengambil kira pengakuan dibuat, rayuan serta fakta kes secara menyeluruh.
Tertuduh juga boleh dipenjara selama enam bulan jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda terbabit.
Bapa kepada tiga anak didakwa melakukan perbuatan itu terhadap adik iparnya berusia 27 tahun di sebuah rumah dalam daerah ini, pada pukul 2 pagi, 12 Februari lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan ataupun mana-mana daripada dua hukuman terbabit.
Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat oleh pengadu yang juga mangsa yang mendakwa diperlakukan sedemikian ketika sedang tidur di rumah kakaknya yang juga isteri tertuduh.
Mangsa dikatakan bertandang ke rumah kakaknya namun pada pagi kejadian, tertuduh menyelinap masuk ke dalam bilik lalu melakukan perbuatan terkutuk terhadap adik iparnya.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa terjaga sebelum melihat seorang lelaki iaitu tertuduh berada dalam biliknya.
Bertindak atas laporan dibuat, polis berjaya menahan tertuduh di sebuah rumah di sini, bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).-KOSMO! ONLINE














