GUA MUSANG – Seorang suri rumah yang ditahan dalam operasi bersepadu mengaku lima laras senjata api termasuk raifal jenis M16 dan peluru yang ditemukan di rumahnya di Kampung Miak di sini semalam adalah milik suaminya.
Wanita itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 6.45 petang oleh Batalion 8 PGA bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, wanita berusia 32 tahun itu memaklumkan bahawa semua senjata api tersebut adalah milik suaminya dan dia tidak mengetahui secara terperinci mengenai perkara itu.
Katanya, wanita berkenaan memaklumkan dia baru tinggal bersama suaminya di rumah tersebut kira-kira empat bulan.
“Sebelum ini, dia mendakwa tinggal bersama keluarganya di Kampung Belukar Tebu, Batu Balai dekat Kuala Krai. Wanita itu turut memaklumkan dia tidak mengetahui apa-apa berkenaan dengan senjata api itu.
“Suspek telah berusaha menghubungi suaminya, namun lelaki berkenaan enggan pulang ke rumah walaupun diminta berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini
Ahmad Radzi memberitahu, hasil semakan mendapati, wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.
Katanya, kesemua barangan termasuk senjata api dan peluru yang dianggarkan bernilai RM24,875 telah dirampas untuk siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut termasuk pekerjaan dan motif pemilikan senjata api oleh suaminya masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Tambah Ahmad Radzi, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan kes tersebut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gua Musang untuk tindakan selanjutnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang suri rumah direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan lima laras senjata api termasuk raifal jenis M16 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak di sini semalam.
Perintah reman terhadap wanita berusia 32 tahun yang bermula hari ini hingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri. – KOSMO! ONLINE














