MELAKA – Tempoh reman terhadap suspek kes pembunuhan membabitkan mayat reput yang ditemukan dalam balutan tilam dengan kedua-dua tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini, Khamis minggu lalu disambung tujuh hari lagi.
Penganggur berusia 40-an itu sebelum ini telah ditahan dan direman selama tujuh hari sejak 29 Mei lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, permohonan lanjutan tempoh reman itu telah dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan.
“Ya, tempoh reman suspek disambung tujuh hari lagi sehingga 11 Jun ini. Lain-lain (perkembangan) adalah sehingga kita mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tidak mengganggu siasatan,” katanya ringkas kepada pemberita, hari ini.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan, satu mayat ditemui dalam keadaan hampir hancur dibalut dalam tilam dengan kedua-dua tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, dipercayai membabitkan kes bunuh.
Kejadian disyaki berlaku dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan berdasarkan proses pereputan mayat yang teruk sehingga jantina dan identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.
Susulan penemuan itu polis menahan seorang penganggur lelaki berusia 40-an bagi membantu siasatan.
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal, mayat tersebut dipercayai merupakan rakan kepada suspek dan motif pembunuhan adalah berkaitan pergaduhan akibat salah faham serta tuduh-menuduh melibatkan hal keluarga.
Ujarnya, kejadian disyaki berlaku ketika kedua-dua mereka berada di bawah pengaruh dadah.
“Sehingga kini identiti mangsa masih belum dapat disahkan sepenuhnya susulan keadaan mayat yang hampir hancur dan ia tertakluk kepada proses perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan ahli keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE














