MELAKA – Pasukan bomba menangguhkan kemasukan anggota ke dalam bangunan rumah kedai yang runtuh di Taman Kota Laksamana di sini, hari ini berikutan mengesan pergerakan struktur bangunan, selain status mangsa masih belum dapat dipastikan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Tinggi II K. Karuppannan berkata, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera serta dua kenderaan utiliti tiba di lokasi pada pukul 5.06 petang selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati struktur bangunan itu runtuh dari bahagian hadapan sebelum merebak ke bahagian belakang premis.
“Kita menerima maklumat terdapat sebuah bangunan runtuh dan apabila tiba di lokasi, kita dapati keseluruhan struktur memang benar mengalami runtuhan.
“Bagaimanapun, kita belum dapat mengesahkan sama ada masih terdapat mangsa terperangkap kerana pemilik bangunan berada di Kuala Lumpur dan sedang dalam perjalanan ke lokasi bersama pekerjanya,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal daripada pemilik, semua individu dipercayai telah keluar dari bangunan sebelum kejadian berlaku, namun pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pekerja yang berada di lokasi ketika runtuhan berlaku.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya akan dijalankan sekiranya terdapat pengesahan bahawa masih ada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Ketika kita membuat penilaian awal, masih kedengaran bunyi retakan pada struktur bangunan dan terdapat bahagian yang terus runtuh. Keadaan itu sangat berbahaya kepada anggota, jadi saya tidak benarkan mereka masuk kerana kita tidak mahu mempertaruhkan nyawa anggota dalam keadaan struktur yang masih tidak stabil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














