fbpx
HAZIQ melintasi garisan penamat ketika menamatkan larian 10km. - IHSAN PENGANJUR

Remaja 16 tahun catat masa terpantas 10km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pelari muda dari Selangor, Muhammad Haziq Hairol Izmi mempamerkan aksi cukup cemerlang dalam acara 10 kilometer (km) pada saingan SCORE Marathon yang berlangsung di sekitar Putrajaya hari ini.

Dia yang berusia 16 tahun melakukan catatan masa terpantas keseluruhan untuk acara berkenaan apabila mencatat 35 minit 31 saat (s), menewaskan Mohd. Rahimi Radzi (35:39s) dan Mohamad Nur Radzman Munib (36:00s).

Haziq berkata, dia langsung tidak meletakkan sasaran melakukan catatan masa terpantas keseluruhan kerana sasarannya pada perlumbaan itu hanya untuk memenangi kategori yang disertainya.

“Alhamdulillah hari ini rezeki saya kerana memang tidak ada sasaran untuk keseluruhan. Saya datang hanya untuk memenangi kategori yang disertai tetapi rezeki saya menjadi No.1 secara keseluruhan.

“Tahun lepas saya tewas kepada pemenang No.2 (Rahimi) dan rasa puas hati dapat menebus kekalahan itu. Pada edisi tahun lepas, dia memintas saya pada penghujung saingan,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

TAUFIQ (dua dari kanan) melakukan larian bersama ‘William’ selepas peserta-peserta 10km dilepaskan. – IHSAN PENGANJUR

Dalam pada itu, Haziq yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi menjelaskan, kejohanan tersebut merupakan salah satu persiapan untuk dia menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ogos depan.

“Ini merupakan persiapan terakhir saya sebelum SUKMA tetapi saya mahu buat lebih baik pada temasya tersebut. Saya akan fokus kepada acara 5,000 meter (m) dengan sasaran menimba pengalaman sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports, Patricia Tan menyuarakan rasa teruja atas sambutan hangat yang diterima pada edisi kali ini apabila berjaya menarik hampir 51,000 penyertaan.

“Kami sangat gembira apabila berjaya menarik 51,000 penyertaan secara keseluruhan dengan hari pembukaan dimeriahkan dengan 24,000 peserta. Anda semua boleh lihat keterujaan dalam kalangan peserta dan penyokong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, antara detik yang mencuri tumpuan adalah di mana Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari melakukan larian sejauh 250m bersama robot humanoid, ‘William’ selepas melepaskan peserta-peserta acara 10km. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN